Selamat Datang ke Laman Pendidikan

Kehidupan adalah anugerah utama Ilahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaranNya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai. Internet adalah kemudahan buat umat manusia. Justeru itu, memanfaatkan ia untuk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat apa yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari.

Katanya...

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia...

Berkurun lamanya laman blog ini tidak dikemaskini. Menjadi lumrah seorang guru di zaman millenium ini, tugas-tugas yang dipikul semakin hari semakin bertambah. Bukan sahaja menjadi seorang pendidik kepada anak bangsa muda-mudi, malah guru juga berperanan dalam banyak hal. Antaranya termasuklah merekod data-data pelajar untuk dikumpulkan, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sekolah yang memerlukan kakitangan guru-guru untuk menjayakannya dan banyak lagi. Ditambah pula dengan pengisian maklumat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang banyak dibual bicarakan isu ini antara guru-guru. 

Sekolah merupakan tempat seorang pelajar menimba ilmu. Seseorang pelajar yang ingin berjaya perlulah rajin berusaha menimba ilmu, rajin mengulangkaji semula pelajaran dan mencari sendiri maklumat tambahan melalui pusat-pusat tuisyen, laman-laman pendidikan di Internet dan sebagainya. Hari ini, kita lihat sudah banyak laman-laman pendidikan yang dibangunkan bagi memudahkan para pelajar mencari maklumat yang dikehendaki. Ia juga sesuai digunakan para guru yang ingin mengajar secara maya seperti membuat kuiz online, nota-nota untuk dirujuk para pelajarnya dan sebagainya.

Hal ini semakin membuatkan para pelajar lebih ingin tahu dalam sesuatu perkara apabila maklumat yang dicari tidak ditemui sewajarnya. Mereka akan mencari dan terus mencari maklumat yang dikehendaki agar segala kerja-kerja sekolahnya siap untuk dihantar. Memandangkan perubahan arus pemodenan ini, ada juga segelintir para pelajar yang menyalahgunakan media sosial sebagai tempat membuang masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah. Kebijaksanaan yang mereka miliki, mereka gunakan ke arah yang tidak sihat seperti menonton video porno dan bermain video game terlalu lama di Cyber Cafe. Ini adalah satu budaya tidak sihat kepada golongan muda-mudi yang akan mencorakkan dunia ini ke arah lebih maju dan berdaya saing antara satu sama lain. Mereka perlulah diberi perhatian dan tunjuk ajar akan kepentingan ilmu dalam dunia hari ini. Masa depan kita harus ditentukan dari untung nasib kita sebagai seorang pelajar bertanggungjawab, berdedikasi dan menjadi seorang anak yang soleh dan solehah buat ibu bapa.

Akhir kata, ilmu yang kita cari tidak pernah cukup. Untuk menjadi seorang yang berjaya, kita haruslah memupuk diri lebih berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab harian kita sebagai pelajar untuk menimba ilmu di sekolah. Bukan hanya datang mengacau rakan-rakan lain yang ingin belajar atau datang sekadar ingin membuang masa dengan menjalankan aktiviti tidak sihat seperti ponteng sekolah dan sebagainya. Memupuk sikap yang baik dalam kalangan kita hari ini hendaklah dimulakan seawal usia pelajar itu. Yakni, ketika pelajar masih bersekolah inilah yang perlu kita pupuk untuk menjadi insan berguna suatu hari nanti. 

Nukilan ini hanya sekadar memberi sinar harapan untuk para pelajar lebih bersemangat dalam meniti arus kehidupan kini.